November 4, 2008

Rezeki yang diberkati....

Oleh: Zuarida Mohyin

“DAN di antara rahmat pemberian-Nya. Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurnia. Dan juga supaya kamu bersyukur.” (al-Qasas: 73)

Berusaha mendapatkan rezeki halal dituntut dalam Islam. Malah di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki halal.

Ayat-ayat al-Quran menjelaskan bahawa berkerja adalah tugas serta tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan dan merupakan satu ibadah. Malah, sebarang usaha mencari rezeki halal adalah fardu ain. Rasulullah s.a.w. mengingatkan : Mencari sesuatu yang halal adalah fardu selepas menunaikan fardu (sebelumnya).

Mungkin timbul di fikiran kita, Kenapa orang yang mencari rezeki di jalan yang tidak halal dikurniakan kemewahan dan kesenangan. Sedangkan orang yang mencari rezeki di jalan halal, kehidupannya ala kadar sahaja?

Apakah definisi rezeki dan rezeki yang diberkati menurut pandangan Islam?

Rezeki dari segi bahasa bermaksud ar-rizq atau al-`atha’ iaitu pemberian. Manakala, dari segi istilah ialah sesuatu yang diberikan Allah s.w.t. kepada semua makhluk, tidak kira sama ada ia halal atau haram.

Rezeki berkat pula bermaksud, rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita, tetapi ia sesuatu yang baik dan cara ia diperoleh juga baik. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 168 bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Ayat ini menjelaskan lagi bahawa kita mesti mendapatkan rezeki yang berkat, kerana Allah s.w.t. menyebut demikian. Kita diperintahkan supaya bukan setakat memakan rezeki yang halal tetapi juga rezeki yang baik harus menjadi prioriti. Contohnya, sesuatu makanan yang halal belum tentu baik kerana ia menjejaskan kesihatan kita sekiranya diambil dalam jumlah banyak, seperti gula, daging atau makanan yang sudah basi.

Selain itu, mencari rezeki juga memerlukan tujuan yang baik, bukan tujuan untuk mencari kekayaan semata-mata dan menjadi takbur de-ngan kekayaan itu, ataupun mencari rezeki bertujuan membantu orang kafir, membunuh orang Islam dan banyak lagi.

Malah dalam konteks berkat itu sendiri, ia membawa maksud bertambah secara maknawi atau tersirat. Ini tidaklah bermakna rezeki RM100.00 menjadi RM150.00, tetapi kita merasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biar pun jumlah anak ramai.

Walaupun perkara ini tidak disebutkan di dalam al-Quran atau hadis, tetapi berkat itu sendiri membawa maksud peningkatan, penambahan dan penyuburan.

Apakah kepentingan rezeki di dalam Islam?

Ia jelas digambarkan di dalam al-Quran, “Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu, maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan.” (al-Ankabut: 17)

Dalam ayat ini dijelaskan empat perkara kepada kita. Pertama, bahawa rezeki itu mestilah dicari atau kita berusaha memperolehnya kerana ia tidak datang sendiri, umpama yang bulat tidak dapat bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

Sebab itulah, pada zaman Umar al-Khattab, apabila ada di kalangan umat Islam yang hanya duduk berzikir dan bersembahyang di masjid, mereka dihalau oleh Umar dan menyuruh mereka keluar bekerja mencari rezeki.

Ini membuktikan, konteks rezeki di dalam Islam itu sendiri mengajar umat Islam supaya berusaha. Allah s.w.t. mengurniakan kekuatan rohani dan jasmani kepada umat manusia. Salah satu tujuannya, membolehkan mereka bekerja mencari rezeki halal. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha dan kuat bekerja sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Bagi orang yang hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang pekerjaan, sama seperti pesakit yang mengharapkan sembuh, tetapi tidak mahu mengikut nasihat doktor atau mengambil ubat (sebagai tanda berusaha).

Kedua, Allah menyuruh kita beribadat, dan dengan rezeki itu kita dapat beribadat dengan sempurna. Bagaimana kita hendak beribadat, kalau kita tidak mempunyai wang untuk membeli baju, kain kecuali di dalam keadaan darurat.

Hal ini dapat dikaitkan dengan sebuah hadis bermaksud: Sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.

Walaupun hadis ini hadis daif atau lemah tetapi boleh diambil kira kerana ia memang berlaku. Seorang ulama hadis menghukum hadis ini sebagai hadis `daif jiddan’ iaitu hadis yang amat lemah tetapi menurutnya, ia boleh dianggap hadis sahih sekiranya ia dianggap sebagai kemiskinan hati.

Ketiga, membuatkan umat Islam bersyukur. Rasa kesyukuran ini bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain. Contohnya, dengan bersyukur itu akan lahir rasa tanggungjawab berzakat, bersedekah, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan banyak amalan baik boleh dilakukan.

Keempat, menjamin kekuatan ekonomi umat Islam terutamanya melalui kewajipan berzakat. Apabila umat Islam berlumba-lumba membersihkan dan menyuburkan rezeki, maka akan wujud individu yang kuat iman kerana ia bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga seterusnya agama, ummah dan negara.

Apakah hikmah atau manfaat daripada rezeki yang berkat?

Hakikatnya, terlalu banyak hikmahnya. Pertama, rezeki yang berkat, ia menjadi punca atau asbab kepada termakbulnya doa.

Ini diperkukuhkan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan perkara yang baik, dan Allah memerintahkan orang Islam (orang yang beriman), sebagaimana Allah perintahkan kepada para Rasul. Sesungguhnya Allah berfirman: Wahai sekalian rasul hendaklah kamu memakan makanan yang baik dan melakukan perbuatan yang soleh dan Allah menyebut juga, wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada perkara baik yang telah Aku kurniakan.

Kemudian Nabi bercerita: Seorang lelaki telah melalui perjalanan yang jauh sehinggakan pakaian dan penampilannya kusut masih. Lelaki itu menadah tangan berdoa kepada Allah menyebut, Ya Rabb, Ya Rabb tetapi lelaki itu makan makanan dan minuman yang haram serta memakai pakaian haram, dan dia diberi makanan yang haram. Oleh kerana itu bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?

Jelas di sini, biarpun doa seorang musafir di antara doa yang dimakbulkan, tetapi ia menjadi tidak termakbul kerana makanan, minuman dan pakaiannya terdiri daripada sumber yang haram.

Selain itu, rezeki yang berkat juga menjauhkan seseorang itu daripada api neraka. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Hakim : Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah lebih utama untuk dirinya.

Seterusnya, menerusi rezeki yang berkat ini juga menandakan kita telah menyahut dan melaksanakan perintah Allah, dan pasti mendapat pahala.

Sebagaimana firman Allah bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (al-Zalzalah: 7-8)

Selain itu, kita juga menjaga maruah umat Islam kerana melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.


Sheikh Ismail al-Humaidi menceritakan pengalamannya sendiri sewaktu berkhutbah di Masjid al-Qiblatain. Seorang lelaki daripada keluarga miskin mendapat kekayaan daripada sumber yang haram.

Abangnya yang kaya dan mempunyai dua orang anak berpesan kepadanya supaya menguruskan harta-hartanya selepas dia meninggal dunia, kerana dua orang anaknya masih kecil.

Setelah mereka dewasa, harta tersebut mestilah dikembalikan kepada mereka. Tetapi lelaki tersebut tidak menunaikan amanah abangnya.

Sebelum lelaki tersebut meninggal dunia, dia ditimpa sejenis penyakit kulit yang menyebabkan bau busuk sehingga sesiapapun tidak sanggup mendekatinya.

Lebih menyedihkan, apabila hendak dikafankan, jenazahnya terpaksa disiram minyak atar, supaya baunya hilang. Malah, tidak ada yang sanggup menjunjung keranda dan mengebumikannya.

Inilah contoh yang ditunjukkan Allah di dunia terhadap orang yang tidak memperdulikan halal atau haramnya rezeki yang dimiliki.

Di samping itu, rezeki berkat juga membawa kesejahteraan dan ketenangan jiwa kepada empunya diri. Contohnya dengan rezeki yang sedikit, dia merasa cukup dan hatinya tetap tenang serta bersyukur.

Melihat aspek keberkatan itu sendiri, bagaimana nilai sebenar rezeki berkat yang diperoleh dan seharusnya bagaimana ia diuruskan?

Memanglah harta yang diperoleh itu boleh digunakan mengikut kehendaknya sendiri. Namun, di dalam Islam tidak boleh ada unsur pembaziran. Sesuai dengan firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Sebaiknya, gunakanlah mengikut keperluan dan kemampuannya, bukan menurut hawa nafsu. Pun begitu, Islam tidak melarang umatnya bermewah-mewah dengan syarat tidak melampaui batas. Ia sejajar dengan saranan Islam di dalam hadis bermaksud: Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.

Ini kerana, Islam turut menggalakkan umatnya kukuh dari segi ekonomi kerana melaluinya juga, ia dapat membela umat Islam yang lebih memerlukan.

Bagaimana pula pandangan Islam dengan hasil pendapatan daripada pekerjaan yang mempunyai unsur subahat seperti bekerja di kilang arak, pusat hiburan yang ada unsur maksiat, bolehkah alasan darurat digunakan?

Dalam hal ini, kita boleh membahagikannya kepada dua bahagian; pertama, wanita atau lelaki yang bekerja di kelab malam. Hukum asal bekerja di tempat sebegini adalah haram secara qath`i (muktamad).

Alasan darurat bekerja di kelab malam atau rumah pelacuran dalam konteks di Malaysia, saya rasa tidak dapat diterima kerana banyak rakyat dari negara lain datang mencari rezeki di sini dan mereka boleh menjadi kaya raya. Apatah lagi kita rakyat Malaysia sendiri.

Kalau alasan ini yang diberikan pada masa sekarang, ini bererti dia tidak berusaha untuk merubah hidupnya atau hanya mencari jalan mudah. Sedihnya, mereka langsung tidak memikirkan rezeki yang diperoleh itu akan menjadi darah daging, bukan sahaja kepada dirinya tetapi mereka yang berada di bawah tanggungannya.

Kecualilah jika nyawanya terancam oleh pihak tertentu, ia boleh dikira sebagai darurat. Hakikatnya, di Malaysia banyak pekerjaan yang halal boleh dilakukan. Yang perlu cuma tepuk dada tanya iman.

Kedua, bagi mereka yang bekerja di premis-premis yang menjual arak, seperti di gedung membeli-belah, ini dibolehkan kerana kita tidak terlibat langsung dengan benda-benda haram seperti itu.

Namun, mereka yang terlibat secara langsung dalam penyediaan arak, seperti tempat memproses arak dan sebagainya, ia jelas dilarang oleh agama. Dan tiada alasan untuk membenarkannya. Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi Muhammad bersabda: Jibril datang kepadaku lantas berkata: “Ya Muhammad, sesungguhnya Allah melaknat arak dan melaknat orang yang membuat arak, orang yang memerah buah untuk membuat arak, peminum arak, pembawa arak, penjual arak, pembeli dan orang yang menghidangkannya.”

Sebahagian ulama mengharuskannya sekiranya pekerja tersebut melakukannya untuk sementara mencari pekerjaan lain. Serupa juga halnya dengan mereka yang bekerja di bank-bank yang mengamalkan riba. Mereka dikira dalam keadaan darurat.

Bolehkah kita melihat tanda-tanda rezeki yang berkat melalui kehidupan harian ataupun pada diri anak-anak kita?

Sebenarnya tidak banyak bukti melalui al-Quran dan hadis yang spesifik mengenai tanda-tanda rezeki berkat, namun hadis yang disebutkan sebelum ini, iaitu tentang makbulnya doa, menjelaskan segalanya.

Ini kerena kesan daripada doanya yang termakbul, ia membawa kepada kebahagiaan, keharmonian di dalam keluarga, ketenangan jiwa dan banyak lagi nikmat yang kita tidak sedari daripada Allah kepada hamba-Nya yang patuh perintah-Nya dan larangan-Nya.

`Ulat di dalam batu pun boleh hidup.’ Bagaimana pandangan Islam mengenainya?

Di dalam Islam, konsep qada dan qadar mesti ada dalam diri setiap umat Islam tetapi tidak bererti ia harus berserah tanpa berusaha, berdoa dan seterusnya bertawakal kepada Allah.

Peribahasa di atas sebenarnya tidak begitu sesuai dengan ajaran Islam, kerana usaha itu amat penting. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis: Doa itu merupakan satu usaha. Allah akan merubah qada-Nya dengan doa.

Apakah kesimpulan yang boleh digarap melalui tajuk ini?

Yang penting, dalam hal rezeki berkat ialah memastikan kehalalannya dan jalan mendapatkannya juga mestilah halal. Tidak kiralah pekerjaan apa sekalipun. Contohnya, kerjaya guru, ia satu pekerjaan yang mulia dan halal tetapi sekiranya disalahgunakan, ia bertukar kepada haram.

Misalnya,sepatutnya ia mengajar selama dua jam tetapi dikurangkan waktunya atau tidak mengikut kaedah yang sepatutnya. Itu menjadi haram walaupun pada zahirnya, kelihatan halal.

Begitu juga dengan mereka yang bekerja dengan syarikat bukan Islam. Bekerja dengan majikan bukan Islam tidak salah, malah kerja tersebut adalah halal kecuali pekerjaan tersebut melibatkan kerja-kerja maksiat, penipuan, riba, melalaikan sembahyang, mencuri. Sudah tentu ia bertukar menjadi haram.

Bekerja sebagai pengawal yang bertugas malam contohnya, tidak mustahil pekerjaan yang asalnya halal dan baik tadi bertukar kepada tidak diberkati, dengan tindakannya tidur pada waktu bekerja. Ini juga menandakan, ia mengkhianati amanah yang diberikan majikannya. Sedangkan mengkhianati amanah itu salah satu tanda munafik.

Yang pasti, pekerjaan apa sekalipun, sifat amanah dengan tanggungjawab yang diberikan, ikhlas dan seterusnya jujur, barulah datangnya keberkatan rezeki yang diperoleh.

Dalam masa sama, kita mestilah sentiasa merasa qana`ah (cukup) de-ngan apa yang diperoleh, bersyukur, sentiasa beristighfar dan selalu meminta keampunan daripada Allah s.w.t.

No comments: