November 29, 2008

....Rahsia Zikir....



oleh:
Abdul Jamil Lam Al-Qadiri

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman : “Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hati, dengan kerendahan hati dan penuh rasa takut dengan suara yang rendah, di waktu siang maupun malam, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Al- Qur’an Surah Al-A’raf [7] : 205)

Dalam sebuah firmanNya Allah mengingatkan dan menjelaskan, sesungguhnya orang yang berzikir itu mendapat keuntungan. Allah tidak sengaja memberi penjelasan itu apa lagi bertujuan untuk menipu kerana Dia terpelihara dari sifat-sifat keji begitu. JanjiNya adalah tepat dan benar. Sudah tentu orang yang mengingatiNya (berzikir) itu akan mendapat keuntungan dan pahala yang besar, baik di akhirat ataupun di dunia ini.

FirmanNya.......

"Sesungguhnya (wajib) beruntung bagi mereka yang membersihkan (hati) dan (dengan) berzikir menyebut nama Tuhannya (serta) mendirikan Solat."
Al-A'laa 14-15

Bila mengingatkan kepada peringatan itu sudah tentu kita mahu mengetahui apakah keuntungan yang dijanjikan itu. Menjadi fitrah manusia ia mengharapkan penjelasan terhadap sesuatu yang dijanjikan itu serta mahu huraian yang memuaskan sebelum ia cenderung untuk menerimanya. Seperti perihal zikir ini semua manusia mahu mengetahui kedudukan yang sebenarnya. Apakah yang dikatakan keberuntungan itu? Cuma satu menjadi masalah bila mengetahui keberuntungan itu, kadang-kadang manusia dengan tiba-tiba menjadi rajin untuk melakukan sesuatu. Apakah janji itu hanya sebagai pancingan untuk meransang manusia agar rajin mengingati Allah?

Dalam hal ini perlu diingatkan, jangan pula setelah mengetahui keberuntungan yang bakal diperolehi itu, menyebabkan kita menjadi rajin dan mengharap-harapkan kepadanya. Kita menanti-nanti akan keberuntungan itu dengan berzikir. Kalau kita sudah berkelakuan begitu, kita sudah tidak ikhlas lagi dalam beramal. Keadaan itu telah merosakkan tujuan dan juga matlamat kita beramal (berzikir).

Firman Allah Ta'ala.......

"Dan serulah Ia (Allah) dengan mengikhlaskan agama bagiNya."

Al-A'raaf 29

Sebenarnya banyak rahsia ataupun keuntungan yang bakal diperolehi oleh seseorang yang kuat berzikir kepada Allah. Seperti yang telah diterangkan dalam bab-bab terdahulu, keuntungan itu satu realiti yang tidak boleh dinafikan.

Antara firmanNya.......

"Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram."

dan lagi.......

"Kerana itu ingatlah kepadaKu nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan jangan kamu mengingkari nikmatKu."

Al-Baqarah 152

Bagaimanapun dalam bab ini kita tidak bercadang untuk menceritakan perihal keberuntungan itu lagi, tetapi dikhususkan untuk mendedahkan rahsia-rahsia yang terdapat dari zikir, di mana rahsia ini semua menjadi idaman dan impian semua manusia.

Kita sudah tahu apakah kesan-kesan yang diperolehi oleh syariat jika kita mengingati Allah (berzikir)? Sekurang-kurangnya ada lapan keistimewaan yang diperolehi oleh ahli zikir. Perkara ini kita sudah bincangkan dalam bab "Keistimewaan Orang Berzikir".

Di sini akan diterangkan mengenai "hakikat" rahsia ataupun rahsia peribadi yang diperolehi oleh seseorang yang berzikir itu. Lebih tepat lagi rahsia-rahsia kerohanian dan juga pembukaan "Sungai Ladunni" oleh seseorang yang telah sampai pada makam zikir yang sebenarnya.

Dalam bab yang lalu kita telah sama-sama mengetahui serta mempelajari bagaimana zikir itu berperanan menyucikan diri seseorang itu. Dengan pengalaman itu dapat kita mengerti bahawa natijah sesuatu zikir itu bukan setakat untuk mengawal syariat manusia itu agar betul dan bergerak di atas paksi Tauhid kepada Allah semata-mata. Tetapi ia juga bertujuan untuk mempastikan kita agar sentiasa mengingati dan berikhtiar untuk melekatkan diri kita dengan sifat-sifat yang ada kepada Allah.

Tetapi peranan zikir lebih jauh daripada itu. Ia juga merupakan penawar untuk mengubat batin, membersih batin, menyuci batin, menggemuk batin dan paling penting membuka "Nur Qalbi" serta menghancurkan ketulan darah kotor yang bergantung/bergayut di hujung jantung, yang dinamakan "Istana Iblis" itu. Itu yang lebih penting. Kuasa yang ada kepada zikir ia boleh menerangi seluruh hati kita dengan Cahaya Allah (Nurrullah). Ini akan berlaku apabila kita sudah memperolehi apa yang dinamakan "Piala" zikir.

Apabila seluruh batin kita sudah diselimuti oleh zikirilah, maka seluruh batin kita akan cerah dan dapat berfungsi dengan baik seperti malam hari diterangi oleh bulan purnama. Orang yang mencecah kepada zikir itu akan memperolehi mata batin (Basirun), telinga batin (Sami'un) dan sebagainya lagi.

Apabila hati sudah disuluhi dan diterangi oleh cahaya Allah, maka batinnya akan berfungsi dan di kala inilah diri kita dapat mema'rifatkan kepada Allah. Proses pemancaran (wujud) cahaya zikir itu seperti proses pemancaran cahaya matahari yang tertimpa keatas bulan dan memancarkan (refleksi) cahaya yang nyaman, lembut dan romantik ke bumi.

Apabila sampai ke tahap atau makam ini maka seseorang ahli zikir itu dapat mengetahui sesuatu yang tidak dapat ditangkap oleh anggota zahir. Misalnya apa yang tidak dapat diketahui oleh mata, dapat ditangkap oleh mata batinnya. Sesuatu yang tidak dapat didengar oleh telinga zahir tapi boleh didengar oleh telinga batin dan begitulah seterusnya.

Keistimewaan mereka yang sudah dapat menguasai hakikat zikir ini menyebabkan dia dapat mendengar dan faham segala gerak-geri alam, haiwan, serangga dan juga deseran dedaun kayu, ombak, hembusan angin dan sebagainya. Orang yang menduduki makam ini juga kadang-kala bercakap-cakap sendiri (padahal dia bercakap dengan isi alam)!

Matanya dapat melihat pada waktu malam atau di kala alam gelap-gelita. Dirinya dapat mengetahui sesuatu yang berlaku meskipun dia berada di alam tidur. Dia juga dapat maklumat tepat mengenai apa- apa yang akan berlaku ke atas dirinya dan dunia dalam sekitar tempoh 40 hari, seperti tarikh kematian dirinya. Pendeknya segala rahsia Allah yang tidak dapat disingkap oleh anggota batin dapat diketahui oleh diri batin.

Keistimewaan ahli zikir yang sampai ke peringkat itu bukan setakat itu sahaja, dia juga dapat bertahan lapar, haus dan menahan sakit dan penderitaan-penderitaan zahir yang lain. Tubuh mereka menjadi "kebal" daripada rasa sakit dan pedih. Zikir itu sebenarnya menjadi penebat pada tubuh mereka. Kerana itulah kita selalu mendengar para Wali Allah itu adakalanya tidak makan bertahun-tahun dan tidak sakit bertahun-tahun. Sesetengahnya pula sangat merindui kepada kesakitan dan mahu kepada kematian.

Seseorang Wali Allah yang telah sampai ke peringkat zikir yang memecahkan rahsia itu boleh hidup untuk beribu tahun tanpa makan dan minum. Kisah ataupun hakikat ini bukan dongengan atau merupakan satu "kempen" untuk mendorong kita memiliki ilmu zikir ini, tetapi merupakan satu kenyataan yang disurat-lipatkan dalam Al-Quran.

Mungkin anda pernah mendengar kisah "Pemuda Ashabul Khafi" di dalam Al-Quran, di mana tujuh orang pemuda yang semuanya anak raja tidur selama 309 tahun kerana beramal kepada Allah. Mereka adalah Wali Allah, yang merupakan ahli zikir kelas satu (first-class).

Kalau diukurkan kepada logik, mustahil seorang manusia itu dapat tidur selama beratus tahun tanpa makan dan minum, tentu mereka akan mati. Menurut pendapat pakar perubatan moden (medical specialist), manusia hanya dapat bertahan selama lapan hari sahaja tanpa makan dan minum, selepas itu dia akan mati kebuluran.

Tetapi tujuh orang Pemuda Ashabul Khafi" itu bukan lapan hari, tetapi selama 309 tahun mereka berada dalam gua (Khafi), yang pintunya ditutup rapat dan tanpa memakan apa-apa makanan.

Apakah rahsia maka mereka dapat bertahan dan hidup begitu lama. Apakah yang mereka makan bagi meneruskan hayat mereka? Jawabnya tidak lain dan tidak bukan ialah zikir. Mereka berzikir (ingat kepada Allah) dan menjadikan zikir sebagai santapan rohani. Dari kisah itu jelas membuktikan kepada kita, bahawa bila sampai ke satu peringkat, zikir itu boleh mengenyangkan kita. Ia boleh melapangkan dada kita. Caranya bila kita asyik dan "zauq" (Mabuk Ketuhanan), kita hanya akan ingatkan Tuhan sahaja, tanpa yang lain, termasuk melupai penderitaan zahir seperti lapar, haus, sakit, takut atau bimbang kepada sesama makhluk.

Lagi pun bila kita sudah tidak putus-putus mengingatkanNya maka Dia juga begitu. Jadi bila Dia sudah ingatkan kita tak hairanlah dengan segala perilaku salah adat itu, seperti tak makan, tak mengantuk, tak lapar dan sebagainya adalah perkara "kacang" sahaja.

FirmanNya......

"Jika engkau ingatkan Aku, Aku ingatkan engkau."

"Dan hanya pada Tuhanlah hendaknya kamu berharap."

Demikian juga dengan apa yang berlaku ke atas Wali-wali dan para Nabi. Kenapa mereka memperolehi kelebihan, keistimewaan dan juga kemuliaan, (karamah hidup) kerana mereka benar-benar menguasai "Zikir Ma'rifat". Nabi Ibrahim a.s. walaupun dicampak ke dalam api, baginda tidak mengalami apa-apa walaupun seurat bulu roma pun tidak hangus. Apa menyebabkan Baginda kebal ialah tak lain dan tak bukan kerana dia berzikir (ingat) kepada Allah.

Nabi Nuh a.s. walaupun seluruh kaumnya mati kelemasan kerana bah (banjir) besar, tetapi dia selamat. Apakah rahsia menyebabkan dia selamat, jawabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana dia sentiasa berzikir (ingat) akan Allah. Zikir-zikir Nabi Nuh a.s. menyebabkan air tidak masuk ke dalam bahteranya.

Demikianlah hikmah dan juga rahsia zikir terlalu besar sekali ia boleh menjadikan seseorang itu dikatakan karamah dan punya kelebihan yang jarang dimiliki oleh orang ramai. Terpulanglah kepada kita apakah kita ingin ataupun tidak memiliki segala rahsia itu, tepuk dada tanya selera. Walau bagaimanapun suka diingatkan, dalam hal ini jangan pula kerana mengetahui akan rahsia-rahsia itu maka kita berzikir semata-mata mengharapkan segala kekeramatan itu. Niat begitu sudah salah. Dan yakinlah kalau kita buat dengan memasang niat begitu segala apa yang kita hajati tidak menjadi. Konsep dalam beramal itu tidak boleh ghairah dan mengharapkan apa-apa ganjaran.

Lagi pun berzikir dengan mengharapkan sesuatu, jelas amalan itu sudah tidak ikhlas lagi. Amal yang tidak ikhlas tahu sendirilah natijahnya, ia seperti berusaha untuk memerangkap angin dalam bekas yang berlubang. Sia-sia sahaja.

Sebaliknya berzikirlah sebagai satu tanggungjawab kita terhadap Allah dalam usaha untuk "Kamil-mukamil" denganNya.

"Kekeramatan atau kemuliaan itu datang tanpa disedari. Yang nampak karamah seseorang itu adalah orang lain yang berada di luar kehidupannya."

Wallah hu ta'ala a'lam.......

November 16, 2008

..........Tanda Pencipta mencintai manusia...........

Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my

PASRAH: Wirid dan doa mendekatkan hubungan antara insan dengan Maha Pencipta.

Insan dibekal hati, perasaan, akal dan fikiran membezakan

APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan. Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat.

Begitulah cinta Allah (SWT) kepada hamba-Nya. Maha Agung dan Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada hamba-Nya. Firman Allah (SWT) bermaksud:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya apabila Allah (SWT) mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah (SWT) mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:

* Tanda Allah (SWT) mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah.

Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah (SWT).

Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah (SWT) mencintai dirinya.

Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah (SWT) mengisytiharkan nama kita sebagai orang dicintai-Nya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah (SWT) mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka orang yang yakin bahawa Allah (SWT) mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah (SWT) juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah (SWT) yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah (SWT) iaitu cinta Allah (SWT) kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah (SWT) kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.

* Tanda Allah (SWT) mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah (SWT).

Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah (SWT), berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah (SWT). Ia sentiasa mengingati janji Allah (SWT) Yang Maha Pengampun.

Firman Allah (SWT) bermaksud:

“Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah (SWT). Sesungguhnya Allah (SWT) mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)

Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah (SWT) tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah (SWT). Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah (SWT) akan mematikan kamu. Kemudian Allah (SWT) akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah (SWT) lantas Allah (SWT) mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa Allah (SWT) masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah (SWT) dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.

Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.

Saat Allah (SWT) mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah (SWT) lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah (SWT) mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

* Tanda Allah (SWT) mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.

Allah (SWT) tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.

Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.

Allah (SWT) juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda SAW bersabda bermaksud:

“Apabila Allah (SWT) mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

November 8, 2008

Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas

0leh
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
http://drmaza.com/

ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.

Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.

Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.

Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.

Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim).

Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50: (maksudnya) Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).

Di suasana Ramadan ini, semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7: (maksudnya) Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

November 6, 2008

..d u b a i m e t r o...

....redha...

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

* Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
* Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

....Tawadhu'...

oleh
Umar Al-Fateh*

Andaikata kita benar-benar dapat meletakkan diri kita secara tepat dalam hidup ini, nescaya hidup ini lebih ringan, lebih tenang dan lebih barakah. Sayang, kita kadang tidak cukup waktu untuk mengenal diri sehingga kita merasa lebih dari kenyataan, ataupun kita merasa lebih rendah dari apa yang Allah kurniakan. Inilah hikmah yang ingin kita singkapkan dari kehidupan.

Tanamlah diri kita di dalam tanah kerendahan, kerana setiap suatu yang tumbuh tapi tidak ditanam maka tidak sempurna buahnya. Siapa yang merendah diri, Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang sombong diri Allah akan menghinakannya.

Akar yang menghujam ke dalam tanah membuat pohon kian kukuh tapi pohon yang akarnya jauh dari tanah ketika disiram air, pohon itu bisa jatuh, runtuh. Makin kukuh akar mencengkam tanah, biarlah ianya dihempas badai , diterjang taufan , ditiup angin nescaya ia tidak akan goyah. Begitulah jelasnya orang-orang yang benar-benar menikmati hidup buah dari amal yakni orang-orang yang tawaduk atau orang-orang yang rendah hati.

Banyaknya amal tidak bererti selamat. Jika sebelum beramal, tipu dayanya adalah enggan beramal, kalau sebelum beramal tipu dayanya adalah niat yang salah.Ingin dipuji amal-amalnya sebagai amal kebaikan.

Ketika sedang beramal , cubaannya ada lagi, iaitu enggan menyempurnakan amalnya. Ingin tidak sempurna.

Ketika selesai beramal, tipu dayanya menjadi lebih besar iaitu ujub, merasakan diri telah dan paling beramal. Merasa diri lebih dari orang lain amalannya. Semua ini benar-benar mencabar perjuangan.

Kerana itu kita dianjurkan agar tawaduk, betul-betul tanamkan diri di bumi; kerendahan hati agar menjadi sempuranya amal-amalnya.
Kenikmatan Tawadhuk

Ketika kita berusaha untuk meletakkan diri di bumi kerendahan hati, perlu beberapa usaha dalam meletakkan diri sesuai dengan apa yang diinginkan agar diri tidak berasa bongkak diri ketika berjalan di atas muka bumi Allah ini.

Kita harus sedar bahawa yang membuat diri kita beramal bukanlah diri kita tetapi taufiq dari Allah. Sepertinya kita boleh bersedekah, tapi wangnya dari mana?

Jika kita tidak diberikan rezeki oleh Allah, kita tidak akan boleh bersedekah. Sekarang kita sudah punya wang, tetapi orang sekeliling kita tidak memerlukan wang, maka kita juga tidak boleh mengeluarkan wang itu. Sesudah ada rezeki, digerakkan orang-orang yang berkeperluan kepada kita. Ada yang perlu untuk melunasi hutangnya, membiayai masjid-masjid, sekolah-sekolah agama, maka digerakkan mereka untuk bertemu dengan diri kita, maka kita dimudahkan untuk bersedekah dan diringankan hati kita.

Ada juga manusia yang bersedekah, tetapi dengan bersedekah lebih membuatkan hatinya menjadi lebih bongkak. Oleh kerana itu, kita perlu tahu bahawa rangkaian amal ini, hanya Allah yang boleh membuat kita untuk beramal.

Tidak usahlah diingat-ingat, disebut-sebut amal kita kerana Allahlah yang membuatkan kita beramal.

Kita tidak akan benar-benar beramal kerana Allah jika mahukan kemahsyuran dari beramal, bahkan demi Allah, tiada seorang hamba yang sungguh ikhlas pada Allah melainkan dia merasa senang, gembira jika dia tidak mengetahui kedudukan dirinya.

Jangan kita merasakan kita sudah beramal, itu tanda kita tidak ikhlas, apalagi kita merasakan ikhlas. Orang yang merasa ikhlas dan ingin orang lain mengetahui keikhlasannya maka ia masih tidak ikhlas. Dia masih memerlukan agar orang lain tahu dirinya ikhlas dan dia merasa senang dikatakan ikhlas. Maka inilah tanda keikhlasan yang masih belum betul-betul sempurna.


Baja Kerendahan Hati

Oleh itu orang yang ingin betul-betul merasai nikmat tawadhuk perlu melupakan siapa diri kita.

Jika kita sudah berijazah, lupakan ijazah yang ada kerana disisi Allah bukan ijazah yang menjadi ukuran tetapi amal yang ikhlas.

Jika kita pernah bersedekah, lupakan sedekah yang dilakukan, jika diingat-ingat kita makin rasa perlu untuk pujian, disebut-sebut apa yang pernah dilakukan dan itu akan merosak.

Jika kita adalah pimpinan, usahlah disebut-sebut jawatan yang ada “Saya pemimpin sekian-sekian”.

Makin kita mengingati kedudukan kita , amal kita , makin kita ingat semua ini, makin kita rasa perlu diakui oleh makhluk maka makin tidak ikhlas amalannya.

Kalaupun mahu diingat, agar menjadi lebih tawadhuk, ingatlah dosa-dosa kita.Mata… aduhhh, mungkin orang lain lebih bagus menjaga pandangan mereka dari kita yang selalu leka dan alpa dalam menjaganya. Jika kita hanya bisa menjaga pandangan ketika di luar, tetapi ketika menatap filem-filem, televisyen, kita tidak boleh menundukkan pandangan…aduhh… Sungguh banyak dosa, berbanding orang lain yang bisa menundukkan pandangan di mana sahaja.

Perkataan , dibagus-baguskan, menyebut dalil-dalil..tapi siapa tahu , disisi Allah kita masih fasiq (orang yang selalu berbuat dosa).. aduhh..Tubuh dipakaikan sesuatu agar dikatakan soleh. Bila berzikir kehulu-hilir dikuat-kuatkan agar dikatakan bahawa diri sebagai ahli zikir. Semua itu topeng diri.

“Saya ini banyak kekurangan, ” tetapi dalam diam fikiran masih suka mengalamun ke mana-mana , bicara ditambah-tambah , makin banyak silap , makin banyak dosa. Perkataan-perkataan dikatakan lebih dari kenyataan yang sebenarnya.

Kadang dikurangi perkataan kerana takut dikata bodoh ilmunya.

Kita belajar untuk mengaku siapa diri kita, maka pujian orang tidak akan membuatkan kita bahagia kerana pujian itu tidak sesuai dengan keadaan kita.

Dan penghinaan orang juga tidak akan membuatkan kita terluka kerana penghinaan itu kekadang ,jika boleh dikatakan, lebih bagus dari kehinaan kita yang sebenarnya di sisi Allah.

Selama kita belajar melihat kekurangan diri, sepanjang itulah kita boleh mendidik jiwa dan hati kita agar sentiasa merendah diri, tidak sombong ketika berjalan di atas muka bumi.

Umpama padi di ladang, semakin ia berisi, semakin tunduk ia. Semakin kita mempelajari kehidupan, semakin merendah hatinya. Akur, bahawa diri masih tidak punya apa-apa. Sedar, diri masih jauh dari kesempurnaan. Rendah hati adalah kesempurnaan amal dalam menundukkan sifat tercela dari kesombongan.


Latihan Tawadhuk

Maka, latihlah tawadhuk dalam diri kita, mengingat-ingat kekurangan dalam diri.

Ketika melihat kekurangan diri, supaya kita tawadhuk, sesudah kita yakin semuanya milik Allah, tidak diingat-ingat kebaikan dan jasa diri kita.

Dalam masa yang sama, kita tidak melihat orang lain lebih rendah dari diri kita.

Setiap orang kita lihat pada titik kelebihannya.

Lihat anak-anak kecil, boleh jadi, dosanya lebih kecil, ataupun tidak berdosa dengan itu memudahkannya mendapat syurga berbanding kita.

Lihat kepada orang yang lebih tua, amalnya boleh jadi lebih banyak dan taqwanya juga lebih tinggi dari kita.

Ketika melihat orang yang baru belajar membaca al-quran, siapa tahu dia lebih takut pada Allah pada setiap huruf yang diucapkannya.

Ketika melihat orang yang sedang berjualan, walaupun kecil jualannya, siapa tahu dalam pandangan Allah, penjual itu lebih mulia kerana kejujurannya walaupun dagangannya tidak sebesar mana.

Melihat akan seorang guru, mungkin pengajarannya begitu ikhlas sehingga dari murid-muridnya terbit mereka yang akan menjadi benteng agama ini.

Melihat kepada orang yang sudah berkahwin, siapa tahu, ibadahnya lebih tenang dan lebih khusyu’ sehingga di pandangan Allah lebih mulia dari kita yang hati sentiasa tidak tenang dan banyak berfikir tidak sepatutnya.

Melihat orang yang membuat maksiat, mana tahu , suatu hari nanti, dia mendapat hidayah, taqwanya lebih tinggi dari kita dan matinya lebih mulia dari kita yang masih tidak tahu apa kesudahan kita.

Lihat orang, lihatlah kebaikan mereka.

Jika melihat seorang ibu, mungkin dengan keibuannya akan mengangkat darjatnya walaupun amalnya agak terbatas.

Semakin senang kita melihat jasa orang lain, menghargai kebaikan orang lain,maka makin senang untuk kita menghormati manusia dan insyaAllah sifat tawadhuk boleh ditanam dalam diri kita.

Bila kita sudah gembira melihat kebaikan orang lain, jasa mereka semuanya maka insyaallah kita akan lebih jauh dari kesombongan dan makin dekat kita dengan keteguhan dan kesempurnaan amal.

Marilah sejenak kita mengambil pengajaran dari ayat Allah, Pencipta dan Pemilik kasih sayang dan cinta, yang menyarankan kita agar membersihkan hati kita dari sifat kesombongan, agar buah amalnya menjadikan kita lebih dekat pada Maha Pemberi Segalanya, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang.

“Janganlah kamu berjalan di bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (Luqman : 18)

November 4, 2008

Rezeki yang diberkati....

Oleh: Zuarida Mohyin

“DAN di antara rahmat pemberian-Nya. Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurnia. Dan juga supaya kamu bersyukur.” (al-Qasas: 73)

Berusaha mendapatkan rezeki halal dituntut dalam Islam. Malah di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki halal.

Ayat-ayat al-Quran menjelaskan bahawa berkerja adalah tugas serta tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan dan merupakan satu ibadah. Malah, sebarang usaha mencari rezeki halal adalah fardu ain. Rasulullah s.a.w. mengingatkan : Mencari sesuatu yang halal adalah fardu selepas menunaikan fardu (sebelumnya).

Mungkin timbul di fikiran kita, Kenapa orang yang mencari rezeki di jalan yang tidak halal dikurniakan kemewahan dan kesenangan. Sedangkan orang yang mencari rezeki di jalan halal, kehidupannya ala kadar sahaja?

Apakah definisi rezeki dan rezeki yang diberkati menurut pandangan Islam?

Rezeki dari segi bahasa bermaksud ar-rizq atau al-`atha’ iaitu pemberian. Manakala, dari segi istilah ialah sesuatu yang diberikan Allah s.w.t. kepada semua makhluk, tidak kira sama ada ia halal atau haram.

Rezeki berkat pula bermaksud, rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita, tetapi ia sesuatu yang baik dan cara ia diperoleh juga baik. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 168 bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Ayat ini menjelaskan lagi bahawa kita mesti mendapatkan rezeki yang berkat, kerana Allah s.w.t. menyebut demikian. Kita diperintahkan supaya bukan setakat memakan rezeki yang halal tetapi juga rezeki yang baik harus menjadi prioriti. Contohnya, sesuatu makanan yang halal belum tentu baik kerana ia menjejaskan kesihatan kita sekiranya diambil dalam jumlah banyak, seperti gula, daging atau makanan yang sudah basi.

Selain itu, mencari rezeki juga memerlukan tujuan yang baik, bukan tujuan untuk mencari kekayaan semata-mata dan menjadi takbur de-ngan kekayaan itu, ataupun mencari rezeki bertujuan membantu orang kafir, membunuh orang Islam dan banyak lagi.

Malah dalam konteks berkat itu sendiri, ia membawa maksud bertambah secara maknawi atau tersirat. Ini tidaklah bermakna rezeki RM100.00 menjadi RM150.00, tetapi kita merasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biar pun jumlah anak ramai.

Walaupun perkara ini tidak disebutkan di dalam al-Quran atau hadis, tetapi berkat itu sendiri membawa maksud peningkatan, penambahan dan penyuburan.

Apakah kepentingan rezeki di dalam Islam?

Ia jelas digambarkan di dalam al-Quran, “Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu, maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan.” (al-Ankabut: 17)

Dalam ayat ini dijelaskan empat perkara kepada kita. Pertama, bahawa rezeki itu mestilah dicari atau kita berusaha memperolehnya kerana ia tidak datang sendiri, umpama yang bulat tidak dapat bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

Sebab itulah, pada zaman Umar al-Khattab, apabila ada di kalangan umat Islam yang hanya duduk berzikir dan bersembahyang di masjid, mereka dihalau oleh Umar dan menyuruh mereka keluar bekerja mencari rezeki.

Ini membuktikan, konteks rezeki di dalam Islam itu sendiri mengajar umat Islam supaya berusaha. Allah s.w.t. mengurniakan kekuatan rohani dan jasmani kepada umat manusia. Salah satu tujuannya, membolehkan mereka bekerja mencari rezeki halal. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha dan kuat bekerja sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Bagi orang yang hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang pekerjaan, sama seperti pesakit yang mengharapkan sembuh, tetapi tidak mahu mengikut nasihat doktor atau mengambil ubat (sebagai tanda berusaha).

Kedua, Allah menyuruh kita beribadat, dan dengan rezeki itu kita dapat beribadat dengan sempurna. Bagaimana kita hendak beribadat, kalau kita tidak mempunyai wang untuk membeli baju, kain kecuali di dalam keadaan darurat.

Hal ini dapat dikaitkan dengan sebuah hadis bermaksud: Sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.

Walaupun hadis ini hadis daif atau lemah tetapi boleh diambil kira kerana ia memang berlaku. Seorang ulama hadis menghukum hadis ini sebagai hadis `daif jiddan’ iaitu hadis yang amat lemah tetapi menurutnya, ia boleh dianggap hadis sahih sekiranya ia dianggap sebagai kemiskinan hati.

Ketiga, membuatkan umat Islam bersyukur. Rasa kesyukuran ini bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain. Contohnya, dengan bersyukur itu akan lahir rasa tanggungjawab berzakat, bersedekah, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan banyak amalan baik boleh dilakukan.

Keempat, menjamin kekuatan ekonomi umat Islam terutamanya melalui kewajipan berzakat. Apabila umat Islam berlumba-lumba membersihkan dan menyuburkan rezeki, maka akan wujud individu yang kuat iman kerana ia bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga seterusnya agama, ummah dan negara.

Apakah hikmah atau manfaat daripada rezeki yang berkat?

Hakikatnya, terlalu banyak hikmahnya. Pertama, rezeki yang berkat, ia menjadi punca atau asbab kepada termakbulnya doa.

Ini diperkukuhkan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan perkara yang baik, dan Allah memerintahkan orang Islam (orang yang beriman), sebagaimana Allah perintahkan kepada para Rasul. Sesungguhnya Allah berfirman: Wahai sekalian rasul hendaklah kamu memakan makanan yang baik dan melakukan perbuatan yang soleh dan Allah menyebut juga, wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada perkara baik yang telah Aku kurniakan.

Kemudian Nabi bercerita: Seorang lelaki telah melalui perjalanan yang jauh sehinggakan pakaian dan penampilannya kusut masih. Lelaki itu menadah tangan berdoa kepada Allah menyebut, Ya Rabb, Ya Rabb tetapi lelaki itu makan makanan dan minuman yang haram serta memakai pakaian haram, dan dia diberi makanan yang haram. Oleh kerana itu bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?

Jelas di sini, biarpun doa seorang musafir di antara doa yang dimakbulkan, tetapi ia menjadi tidak termakbul kerana makanan, minuman dan pakaiannya terdiri daripada sumber yang haram.

Selain itu, rezeki yang berkat juga menjauhkan seseorang itu daripada api neraka. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Hakim : Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah lebih utama untuk dirinya.

Seterusnya, menerusi rezeki yang berkat ini juga menandakan kita telah menyahut dan melaksanakan perintah Allah, dan pasti mendapat pahala.

Sebagaimana firman Allah bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (al-Zalzalah: 7-8)

Selain itu, kita juga menjaga maruah umat Islam kerana melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.


Sheikh Ismail al-Humaidi menceritakan pengalamannya sendiri sewaktu berkhutbah di Masjid al-Qiblatain. Seorang lelaki daripada keluarga miskin mendapat kekayaan daripada sumber yang haram.

Abangnya yang kaya dan mempunyai dua orang anak berpesan kepadanya supaya menguruskan harta-hartanya selepas dia meninggal dunia, kerana dua orang anaknya masih kecil.

Setelah mereka dewasa, harta tersebut mestilah dikembalikan kepada mereka. Tetapi lelaki tersebut tidak menunaikan amanah abangnya.

Sebelum lelaki tersebut meninggal dunia, dia ditimpa sejenis penyakit kulit yang menyebabkan bau busuk sehingga sesiapapun tidak sanggup mendekatinya.

Lebih menyedihkan, apabila hendak dikafankan, jenazahnya terpaksa disiram minyak atar, supaya baunya hilang. Malah, tidak ada yang sanggup menjunjung keranda dan mengebumikannya.

Inilah contoh yang ditunjukkan Allah di dunia terhadap orang yang tidak memperdulikan halal atau haramnya rezeki yang dimiliki.

Di samping itu, rezeki berkat juga membawa kesejahteraan dan ketenangan jiwa kepada empunya diri. Contohnya dengan rezeki yang sedikit, dia merasa cukup dan hatinya tetap tenang serta bersyukur.

Melihat aspek keberkatan itu sendiri, bagaimana nilai sebenar rezeki berkat yang diperoleh dan seharusnya bagaimana ia diuruskan?

Memanglah harta yang diperoleh itu boleh digunakan mengikut kehendaknya sendiri. Namun, di dalam Islam tidak boleh ada unsur pembaziran. Sesuai dengan firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Sebaiknya, gunakanlah mengikut keperluan dan kemampuannya, bukan menurut hawa nafsu. Pun begitu, Islam tidak melarang umatnya bermewah-mewah dengan syarat tidak melampaui batas. Ia sejajar dengan saranan Islam di dalam hadis bermaksud: Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.

Ini kerana, Islam turut menggalakkan umatnya kukuh dari segi ekonomi kerana melaluinya juga, ia dapat membela umat Islam yang lebih memerlukan.

Bagaimana pula pandangan Islam dengan hasil pendapatan daripada pekerjaan yang mempunyai unsur subahat seperti bekerja di kilang arak, pusat hiburan yang ada unsur maksiat, bolehkah alasan darurat digunakan?

Dalam hal ini, kita boleh membahagikannya kepada dua bahagian; pertama, wanita atau lelaki yang bekerja di kelab malam. Hukum asal bekerja di tempat sebegini adalah haram secara qath`i (muktamad).

Alasan darurat bekerja di kelab malam atau rumah pelacuran dalam konteks di Malaysia, saya rasa tidak dapat diterima kerana banyak rakyat dari negara lain datang mencari rezeki di sini dan mereka boleh menjadi kaya raya. Apatah lagi kita rakyat Malaysia sendiri.

Kalau alasan ini yang diberikan pada masa sekarang, ini bererti dia tidak berusaha untuk merubah hidupnya atau hanya mencari jalan mudah. Sedihnya, mereka langsung tidak memikirkan rezeki yang diperoleh itu akan menjadi darah daging, bukan sahaja kepada dirinya tetapi mereka yang berada di bawah tanggungannya.

Kecualilah jika nyawanya terancam oleh pihak tertentu, ia boleh dikira sebagai darurat. Hakikatnya, di Malaysia banyak pekerjaan yang halal boleh dilakukan. Yang perlu cuma tepuk dada tanya iman.

Kedua, bagi mereka yang bekerja di premis-premis yang menjual arak, seperti di gedung membeli-belah, ini dibolehkan kerana kita tidak terlibat langsung dengan benda-benda haram seperti itu.

Namun, mereka yang terlibat secara langsung dalam penyediaan arak, seperti tempat memproses arak dan sebagainya, ia jelas dilarang oleh agama. Dan tiada alasan untuk membenarkannya. Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi Muhammad bersabda: Jibril datang kepadaku lantas berkata: “Ya Muhammad, sesungguhnya Allah melaknat arak dan melaknat orang yang membuat arak, orang yang memerah buah untuk membuat arak, peminum arak, pembawa arak, penjual arak, pembeli dan orang yang menghidangkannya.”

Sebahagian ulama mengharuskannya sekiranya pekerja tersebut melakukannya untuk sementara mencari pekerjaan lain. Serupa juga halnya dengan mereka yang bekerja di bank-bank yang mengamalkan riba. Mereka dikira dalam keadaan darurat.

Bolehkah kita melihat tanda-tanda rezeki yang berkat melalui kehidupan harian ataupun pada diri anak-anak kita?

Sebenarnya tidak banyak bukti melalui al-Quran dan hadis yang spesifik mengenai tanda-tanda rezeki berkat, namun hadis yang disebutkan sebelum ini, iaitu tentang makbulnya doa, menjelaskan segalanya.

Ini kerena kesan daripada doanya yang termakbul, ia membawa kepada kebahagiaan, keharmonian di dalam keluarga, ketenangan jiwa dan banyak lagi nikmat yang kita tidak sedari daripada Allah kepada hamba-Nya yang patuh perintah-Nya dan larangan-Nya.

`Ulat di dalam batu pun boleh hidup.’ Bagaimana pandangan Islam mengenainya?

Di dalam Islam, konsep qada dan qadar mesti ada dalam diri setiap umat Islam tetapi tidak bererti ia harus berserah tanpa berusaha, berdoa dan seterusnya bertawakal kepada Allah.

Peribahasa di atas sebenarnya tidak begitu sesuai dengan ajaran Islam, kerana usaha itu amat penting. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis: Doa itu merupakan satu usaha. Allah akan merubah qada-Nya dengan doa.

Apakah kesimpulan yang boleh digarap melalui tajuk ini?

Yang penting, dalam hal rezeki berkat ialah memastikan kehalalannya dan jalan mendapatkannya juga mestilah halal. Tidak kiralah pekerjaan apa sekalipun. Contohnya, kerjaya guru, ia satu pekerjaan yang mulia dan halal tetapi sekiranya disalahgunakan, ia bertukar kepada haram.

Misalnya,sepatutnya ia mengajar selama dua jam tetapi dikurangkan waktunya atau tidak mengikut kaedah yang sepatutnya. Itu menjadi haram walaupun pada zahirnya, kelihatan halal.

Begitu juga dengan mereka yang bekerja dengan syarikat bukan Islam. Bekerja dengan majikan bukan Islam tidak salah, malah kerja tersebut adalah halal kecuali pekerjaan tersebut melibatkan kerja-kerja maksiat, penipuan, riba, melalaikan sembahyang, mencuri. Sudah tentu ia bertukar menjadi haram.

Bekerja sebagai pengawal yang bertugas malam contohnya, tidak mustahil pekerjaan yang asalnya halal dan baik tadi bertukar kepada tidak diberkati, dengan tindakannya tidur pada waktu bekerja. Ini juga menandakan, ia mengkhianati amanah yang diberikan majikannya. Sedangkan mengkhianati amanah itu salah satu tanda munafik.

Yang pasti, pekerjaan apa sekalipun, sifat amanah dengan tanggungjawab yang diberikan, ikhlas dan seterusnya jujur, barulah datangnya keberkatan rezeki yang diperoleh.

Dalam masa sama, kita mestilah sentiasa merasa qana`ah (cukup) de-ngan apa yang diperoleh, bersyukur, sentiasa beristighfar dan selalu meminta keampunan daripada Allah s.w.t.