September 16, 2008

Untuk renungan bersama..... ianya mungkin antara salah satu sebab musabab gue sekarang ini berada di sini.

'Infrastruktur kelas pertama, upah dunia ke-3'

Oleh TAN SRI G.GNANALINGAM
(Pengerusi Eksekutif Westports)

KUALA LUMPUR - Selepas mengalami pembangunan kira-kira 50 tahun, kita boleh menyatakan bahawa negara ini memiliki salah satu infrastruktur yang terbaik di dunia di segi jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan malah Koridor Raya Multimedia.

Kita hanya menyedari tentang perkara itu sehingga kita melawat negara-negara jiran atau semasa kita menerima para pelawat dari Amerika Syarikat atau Eropah.

Semasa para pelawat berkenaan meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sambil merasai perjalanan menggunakan lebuh raya, melawat KLCC atau membeli-belah di kompleks membeli belah di sekitarnya, mereka terus boleh mengakses Internet. Kesemuanya menyatakan negara kita lebih baik dari negara-negara maju.

Kerajaan telah melakukan banyak usaha agar setiap rakyat memiliki sebuah rumah, setiap murid mempunyai mejanya sendiri di sekolah, setiap pesakit di hospital mempunyai katilnya sendiri dan malah negara ini menyediakan pekerjaan bagi setiap 2.5 juta pekerja asing.


Kebelakangan ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk menambah baik upah kakitangan kerajaan sambil ahli perniagaan telah menaikkan kos barangan makanan di kedai-kedai runcit atau restoran. Sambil negara ini memiliki infrastruktur kelas pertama, kita masih dibayar upah dunia kelas ketiga.


Sambil ekonomi negara telah berkembang sejak 50 tahun lepas - pada kadar 6.0 hingga 8.0 peratus setahun, pemberian upah tidak sepadan dengan pertumbuhan sedemikian. Sehubungan itu, kebanyakan syarikat sektor swasta masih membayar upah dunia ketiga.

Kita tidak berupaya untuk mengukur diri kita dengan indeks McDonalds bagi mengukur berapa bilangan rakyat kita mampu membeli McD. Malah, kita tidak boleh menyatakan kita boleh menggunakan indeks Astro bagi mengukur berapa bilangan rakyat yang termampu melanggani Astro di rumah masing-masing, yang saya percayai kurang dari 10 peratus.


Keadaan itu menjadi lebih rumit apabila kita menyatakan berapa bilangan penduduk negara ini yang termampu membeli komputer bagi rumah masing-masing.

Kita boleh meminta mendapatkan infrastruktur kelas pertama tetapi bolehkah penduduk kita mampu menggunakannya?


Persoalan pertama ialah mampukah penduduk negara kita memiliki telefon bimbit, membayar tol di lebuh raya, komputer dan cukai yang tinggi dikenakan terhadap kereta? Dengan itu, bagi bergerak seiringan dengan pertumbuhan ekonomi kita dan infrastruktur yang hebat dan canggih, pemberian upah sektor swasta perlu dipertingkatkan.

Amat menyedihkan bahawa selepas 50 tahun, kita masih belum mempunyai struktur paras upah minimum dan kita membawa masuk pekerja asing yang dengan gembiranya kita bayar upah di bawah RM600.


Sebaliknya, kita mempunyai 950,000 rakyat Malaysia di seberang laut, yang termasuk 150,000 pekerja profesional, disebabkan skala upah di seberang laut yang lebih baik.

Mungkin kita perlu membandingkan bukan sahaja percukaian di negara lain dan meminta kerajaan mengurangkan cukai pendapatan dan cukai korporat.

Kerajaan telah melaksanakan usaha yang baik untuk menaikkan pemberian upah kepada kakitangan awam sebanyak 35 peratus.


Sektor swasta telah mengeluh bahawa harga petrol telah meningkat sebanyak 100 peratus, harga keluli meningkat 100 peratus dan harga makanan meningkat 50 peratus. Sungguh pun begitu, mereka cuba mengehadkan kenaikan upah antara 6.0 dan 10 peratus.


Kita perlu mempunyai pembayaran upah dengan segera kerana walau di paras RM600 sekali pun, siapa yang termampu untuk hidup di Malaysia?

Hanya lihat pada kos sewaan rumah dan kos sebantal roti bagi sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Ini belum lagi ditambah kos pengangkutan, kemudahan di rumah dan kos mendidik anak-anak kita.


Sejak 50 tahun lepas, pembayaran upah di Singapura telah meningkat 7.5 kali daripada upah di Malaysia. Lima puluh tahun lepas, pembayaran upah dan kadar mata wang kita adalah sama. Hari ini, upah di seberang Tambak Johor tiga kali lebih tinggi dan mata wangnya 2.5 kali lebih tinggi.


Secara perbandingannya, pendapatan rakyat di Hong Kong lebih tinggi dari di Singapura dan rakyat Jepun menerima pendapatan lebih dari rakyat Hong Kong.

Kerajaan bertanggung jawab terhadap infrastruktur kelas pertama dan kenaikan upah yang tinggi sebanyak 35 peratus kakitangan kerajaan.


Siapakah yang bertanggung jawab bagi pembayaran upah kelas ketiga di Malaysia? Siapakah yang menyebabkan lebih sejuta rakyat Malaysia keluar untuk mencari rezeki di seberang laut? Tidakkah kita memerlukan modal insan berkenaan di dalam negara ini?


- Bernama

No comments: