October 31, 2008

....dari sri iskandar ke dubai....

.....Meraih Ketenteraman Dengan Qanaah....


oleh
Abdullah Gymnastiar

SALAH satu sebab yang membuat hidup ini tidak tenteram adalah terpedayanya diri oleh kecintaan kepada harta dan dunia. Orang yang terpedaya harta akan sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang dimilikinya. Akibatnya, dalam dirinya lahir sikap-sikap yang mencerminkan bahawa ia sangat jauh dari rasa syukur kepada Allah Sang Maha Pemberi rezeki.

Orang-orang yang cinta dunia akan selalu terdorong untuk mengejar segala keinginannya, meski harus menggunakan segala cara: licik, bohong, mengurangi timbangan atau sukatan, dan sebagainya. Ia juga tidak pernah menyedari, sesungguhnya harta hanyalah ujian.

"Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: 'Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku'. Sebenarnya itu adalah ujian, tapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui" (QS. Az-Zumar (39):49).

Ayat tersebut menyatakan adanya orang-orang yang lalai dalam menguruskan harta dan dunia yang diberikan kepadanya. Ia menyangka, ketenteraman hidupnya ditentukan oleh banyak-tidaknya harta yang ia miliki, besar-kecilnya tempat tinggal, tinggi-rendahnya kedudukan dan pangkat yang disandangnya.

Ketenteraman hidup sesungguhnya hanya dapat diraih melalui pengurusan yang bijak terhadap harta dan dunia, sekecil dan sebesar apa pun harta yang dimilikinya. Sikap demikian dikenal dengan sebutan qanaah, yang bererti merasakan kecukupan dan kepuasan atas harta dan dunia miliknya.

Orang yang qanaah hidupnya sentiasa bersyukur. Makan dengan garam akan terasa nikmat tiada terhingga, kerana ia tidak pernah berfikir tentang daging yang tiada di hadapannya. Makan dengan sayur lodeh atau daging akan sangat disyukurinya. Ia pun akan berusaha untuk berkongsi kenikmatan yang diterimanya itu dengan keluarga, kerabat, teman atau pun tetangganya, kerana ia ingat pada orang-orang yang hanya boleh makan dengan garam saja.


walaupun demikian, orang-orang yang memiliki sikap qanaah tidak bererti fatalis "menerima nasib begitu saja tanpa ikhtiar". Orang-orang qanaah boleh saja memiliki harta yang sangat banyak, bahkan memiliki banyak sekali perniagaan, namun semua itu bukan untuk menumpuk kekayaan.

Kekayaan dan dunia yang dimilikinya ia sikapi dengan rambu-rambu Allah SWT, sehingga apa pun yang dimilikinya tidak pernah melalaikannya dari mengingat Sang Maha pemberi rezeki.

Ketika berusaha mencari dunia, orang-orang qanaah menguruskannya sebagai sebuah ibadah yang mulia di hadapan Allah Yang Mahakuasa, sehingga ia tidak berani berbuat licik, berbohong, mengurangi timbangan, atau sukatan.

Ia yakin, tanpa menghalalkan segala cara pun ia tetap akan mendapatkan rezeki yang dijanjikan Allah. Ia menyedari, posisi rezeki yang dicarinya tidak akan melebihi dari tiga hal.
1. rezeki yang ia makan hanya akan menjadi kotoran.
2. rezeki yang ia pakai hanya akan menjadi benda usang.
3. rezeki yang ia nafkahkan akan bernilai di hadapan Allah.

Kerananya, ia pun lebih dahulu mementingkan seruan Rabbnya: "Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru kepada kamu sekalian untuk melakukan solat di Hari Jumaat, bersegeralah untuk mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu sekalian mengetahuinya" (QS. Al-Jumu'ah:9)

"Dan apabila telah selesai melaksanakan solat, maka bertebaranlah kamu semua di muka bumi dan carilah karunia Allah serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu sekalian beruntung" (QS. Al-Jumu'ah [62]:10).

Niat yang terlahir dari hati orang-orang yang qanaah ketika melakukan kerja & pencarian dunia bukan didasarkan pada penumpukan kekayaan untuk ia nikmati sendirian, namun benar-benar didasarkan pada ibadah.
Orang-orang qanaah akan mencari harta dan dunia untuk membekali dirinya agar lebih kuat dalam beribadah. Ia akan berfikir, bukankah Allah lebih mencintai mukmin yang kuat dibanding mukmin yang lemah?

Pencarian harta dan dunia yang dilakukannya juga dimaksudkan untuk menafkahi keluarganya agar tidak terjatuh pada jurang kefakiran, menyantuni orang lain, dan agar tidak membebani orang lain ketika Allah menimpakan kesulitan kepada dirinya. Ia akan terus teringat, kefakiran dapat mendekatkan diri pada kekufuran.

Niat orang-orang qanaah ketika mencari harta juga didasarkan pada keharusannya menguasai ilmu pengetahuan. Ia tidak akan pernah merasa sayang dengan harta dan dunia sepanjang ia menggunakannya untuk makin bertambahnya ilmu pengetahuan. Ia yakin, hanya dengan memiliki ilmulah ia dan keluarganya akan merasa tenteram dalam beribadah dan bermuamalah. Insya Allah.


"Dari Abdullah bin ‘Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.." مﻼسلاو

October 30, 2008

Istidraj......

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Rasullulah s.a.w. bersabda :

"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam. Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah. Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasullulah s.a.w bersabda:

"Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya"

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt. Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia. Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam telinganya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya,akhirnya binasa juga. Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat. Wallahualam.

"Dari Abdullah bin ‘Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.." مﻼسلاو

October 28, 2008

Sembahyang Tahajud Membawa Kepada Limpahan Rezeki


Sembahyang tahajud iaitu sembahyang sunat dua rakaat, merupakan di antara pelbagai shalat sunat yang disyariatkan oleh Allah. Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah di antara sepertiga malam iaitu kira-kira dari pukul 2:30 pagi hingga menjelang subuh. “Kalau nak sembahyang sebelum tidur, iaitu selepas sembahyang isyak pun boleh, tapi lebih eloklah pada sepertiga malam kerana waktu itulah yang paling sesuai untuk seseorang itu membersihkan jiwa serta mendekatkan diri dengan Allah” kata Ustaz Muhd Shafie, setiausaha penasihat syariah sebuah syarikat makanan antarabangsa.

Sebagai seorang yang banyak membuat kajian berhubung shalat tahajud, Mohamad memberi penjelasan lanjut mengenai sembahyang itu ringkas tetapi padat. Beliau memberitahu, walaupun sembahyang tahajud dua rakaat sahaja, ia boleh ditunaikan lebih daripada itu mengikut kemampuan masing-masing. Bagaimanapun sebelum sembahyang tahajud, adalah lebih elok jika ia didahului dengan sembahyang sunat mutlak dua rakaat dan di akhiri dengan sembahyang sunat witir (jika tidak sempat menunaikannya sebelum tidur). Mengenai surah yang sepatutnya dibaca selepas al-fatihah, Mohamad memberitahu, tidak ada surah tertentu yang ditetapkan. “tapi biasannya kita baca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah al-ikhlas pada rakaat kedua. Surah al-Kafirun itu menurut Nabi fadilatnya mewakili 2/3 daripada al-Quran. Surah al-Ikhlas pula mewakili 1/2 al-Quran”.

Selain untuk meningkatkan keimanan, shalat tahajud disyariatkan Allah kerana ia mempuyai banyak hikmah dan keberkatannya. Allah menetapkan waktunya pada sepertiga malam kerana suasana ketika itu amat hening, paling sesuai untuk beribadah, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Perkaa itu kata Mohamad, ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Muzammil ayat 6 yang bermaksud; Sebenarnya sembahyang dan ibadah malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

“Selepas shalat tahajud, mohonlah ampun kepada Allah”. kata Ustaz Mohamad sambil merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “Allah turun (kuasa/perintah) pada tiap-tiap malam langit dunia. wahai malaikat, kamu periksa semua makhluk-makhluk di muka bumi. Sesiapa yang bermohon kepadaKu (di sepertiga malam), maka makbulkan doanya. Sesiapa yang meminta kepada Aku, beri. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku, maka ampunkanlah ia”.

Kesempatan itulah ujarnya, yang perlu di raih oleh setiap muslim. “Jadi gunakan waktu itu untuk bertaubat, hampirkan diri dengan Allah supaya menjadi orang beriman. Orang yang selalu sembahyang malam, hatinya bersih, suci, hubungan dengan Allah cukup kuat, patuh perintah Allah dan dikasihi Allah.

Shalat tahajud mempunyai pelbagai hikmah dan fadilatnya. Fadilat itu, ujar Mohamad, antara lain djelaskan Allah dalam surah al-Israa’ ayat 79 bahawa orang yang bersembahyang tahajud akan dibangkitkanNya (di akhirat) di tempat yang terpuji. Ini dijelaskan lagi dalam hadis Rasullulah s.a.w yang bermaksud;

“Wahai manusia, bayakkanlah memberi salam, beri makan kepada orang susah, sembahyang di tengah malam di waktu orang lain sedang tidur, maka kamu masuk syurga. ”

Janji Allah itu cukup jelas kerana orang yang gemar menunaikan tahajud adalah orang yang cintakan Allah, bersih hatinya dan sentiasa memohon ampun kepada Allah untuk menyucikan dirinya daripada dosa. Mereka akan kembali kepada Allah dalam keadaan mulia dan dimasukkan ke syurga”, tegasnya.

Dengan tingkat keimanan yang tinggi, tambah Mohamad, orang-orang yang gemar bershalat tahajud akan mendapat satu lagi keistimewaan yang diingini oleh semua muslim iaitu diambil nyawanya dalam husnul khotimah (mati beriman). Kerana mereka orang-orang yang mulia, malaikat akan mengambil nyawa mereka dengan memberi salam dahulu. Kemudian barulah di ambil nyawanya di dalam keadaan dia tidak berasa sakit”, ujarnya. Demikian untungnya mereka yang gemar bersembahyang tahajud.

Selain dijanjikan syurga, kata Mohamad, orang yang gemar bersembahyang tahajud juga akan dianugerahi Allah dengan pelbagai rezeki seperti hati yang tenang, ilmu yang banyak, murah rezeki, harta terpelihara, kesihatan yang baik, anak-anak berjaya dalam kerjaya dan dihormati masyarakat. Tegas beliau, kerana besarnya fadilat sembahyang tahajud itulah Nabi s.a.w mengajak umatnya menunaikan ibadah tersebut pada setiap malam, tetapi jika tidak mampu, sekali seminggu, sekali sebulan, sekali setahun atau sekali seumur hidup.

Memandangkan besarnya fadilat sembahyang tahajud, tetapi sukarnya untuk menunaikan sembahyang tersebut, Mohamad memberikan ‘petua’ bagi membolehkan kita melakukannya iaitu;

* Tingkatkan keimanan. Ingatlah, sembahyang ini menjadi sesuatu yang berat melainkan bagi hati yang kyusuk. Untuk dapatkan hati yang kyusuk, perlulah dibina dahulu iman di dalam jiwa. Dan seperti satu rantai, orang yang beriman akan bertambah kuat iman serta keyakinan diri mereka apabila kerap bersembahyang tahajud

* Sebelum tidur, sematkan ke dalam fikiran kita untuk bangun pada sepertiga malam, pukul tiga pagi misalnya untuk sembahyang tahajud. Insyallah pada waktu yang dikehendaki itu kita akan terjaga

* Jadikannya ia suatu kebiasaan. Walau kita tidur lewat macam mana pun, buatlah amalan bangun pada waktu yang dikehendaki untuk sembahyang tahajud.

October 26, 2008

la tahzan....



Jika anda bersedih,mungkin ini dapat membantu:

Ibnu abbas buta,& untuk menghibur hati dia berkata:
jika Allah sudah mengambil cahaya dari kedua-dua mataku
tetapi di dalam nurani & hatiku masih ada cahaya
Hatiku cerdik & akalku tidaklah bengkok
dimulutku ada yang tajam seperti pedang terhunus.

ketika saudara Duraid,Abdullah meninggal dunia;Duraid berkata:
Aku sudah memukul kuda kerananya hingga sedemikian rupa
hingga nampak padaku warna hitam yang pekat
Pukulan seseorang yang membela saudaranya
namun dia tahu bahawa manusia tidak akan kekal
Aku rendahkan emosiku sebab aku tidak mengatakan padanya
engkau bohong dan aku tidak bakhil atas apa yang ada di genggamanku

imam syafie berkata:
Biarkanlah hari-hari melakukan apa yang dia mahu
dan relakan jiwamu jika qadha sudah ditetapkan
Jika qafha sudah turun di tanah suatu kaum
maka tidak ada yang sanggup mencegahnya,tidak juga bumi dan langit

Abul atahiyyah berkata:
Berapa kali sesuatu yang engkau benci datang mengunjungimu yang Allah turunkan namun engkau tidak menyukainya?
Berapa kali kita takut akan kematian,namun ternyata kematian tidak kunjung tiba?
Berapa kali kita menyangka bahawa apa yang datang kepada kita adalah satu ketentuan dan akhir dari segalanya,namun ternyata itu malah semangat baru,kekuatan dan keselamatan?
Berapa kali kita merasa bahawa jalan yang kita lalui menjepit kita,tali yang kita pegang putus,dan bentabgan cakeralewa yang ada di depan mata kita tiba-tiba menjadi gelap,namun ternyata yang berlaku adalah kemenangan,bantuan,kebaikan dan khabar baik?

"katakanlah:"Allah menyelamatkan kamu dari bencana itu & dari pelbagai kesusahan"(surah Al-An`am:64)


Ini adalah pendapat saya pula,jawapan ada ditangan anda

Adakah apabila anda menangis & bersedih,anda mendapat apa yang anda mahukan?
Adakah anda tidak percaya pada Rukun Iman ke 6(percaya pada qada & qadar)
Adakah anda boleh dikatakan orang beriman selagi tidak diujiNya?
Adakah anda dapat membuat pilihan antara dunia & akhirat,yang mana anda mahu?
Adakah anda tidak melihat pengajaran dari kisah para Anbia` & sahabat? Adakah mereka tidak diuji?

Apabila anda diuji,katakanlah...cukuplah bagiku Allah

Kita milik Allah & akan kembali padanya..ingatlah Allah,maka hati-hati akan menjadi tenang

October 24, 2008

MEMAHAMI ERTI KIFARAH

Kifarah bererti balasan Allah s.w.t. ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan olehnya. Allah telah menjelaskan bahawa setiap perbuatan manusia yang dilakukan di dunia ini, biar betapa kecil sekalipun akan diperlihatkan kepada pelakunya dan akan dibalas di akhirat kelak.



Manusia sering mengalami sakit, kemalangan yang menyebabkan kehilangan pancaindera, kehilangan harta benda, kematian orang yang dikasihi, kebakaran dan sebagainya.



Manusia menganggap sebagai satu kecelakaan yang menyakitkan. Setiap orang cuba, berusaha untuk mengelakkan, namun, sekiranya Allah itu telah menentukan qadak dan qadarnya maka kecelakaan itu telah berlaku.



Tidak ada manusia yang tahu rahsia-rahsia di sebalik pelbagai kecelakaan atau kemalangan yang telah ditetapkan Allah. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia jahat bagi kamu (al-Baqarah: 216).



Bencana dunia lumrahnya dapat ditanggung oleh manusia. Pada kebiasaannya, manusia akan menjerit ketika sakit atau merengek apabila penderitaan itu berpanjangan dan tidak berupaya menjerit. Manusia akan jatuh pengsan apabila kesakitan itu bersangatan.



Dengan itu manusia tidak akan berasa kesakitan. Hal demikian tidak akan berlaku ketika Allah mengazab atau menyeksa hamba-Nya di akhirat kelak akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba di dunia. Azab neraka akan berterusan. Kulit yang hangus terbakar akan diganti dengan kulit yang baru dan menerima seksa.



Abu al-Laithi menyatakan yang ia telah melawat Rasulullah s.a.w. ketika baginda sakit kuat. Ia telah menyentuh tubuh baginda dan berkata yang bermaksud: Panas badan tuan amat kuat. Baginda menjawab: Benar. Panas bagaikan panas dua orang daripada kamu. Lalu dijawab oleh Ab al-Laithi: Ini kerana tuan mendapat pahala dua kali ganda. Mendengarkan kata-kata itu baginda bersabda yang bermaksud: Benar. Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya, tidak ada seorang Islam di muka bumi ini ditimpa sakit atau lain-lain bala melainkan dihapuskan dosa-dosanya seumpama pohon yang digugurkan daunnya.



Sayidatina Aishah berkata bahawa baginda rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin suatu kecelakaan, biarpun satu duri atau yang lebih teruk daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengan kecelakaan itu satu dosa.



Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Rintihan orang yang sakit adalah merupakan tasbih, jeritannya sebagai tahlil dan kegelisahannya daripada satu bahagian itu ke bahagian lain adalah jihad di jalan Allah dan akan dicatatkan baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan ketika sihat dahulu.



Hadis ini menjelaskan bahawa penderitaan sakit yang dialami oleh seseorang itu diberi ganjaran oleh Allah selain menebus dosa yang dilakukan sebelum itu. Terlalu besar ganjaran Allah kepada orang yang menderita kesakitan berdasarkan keterangan hadis tadi. Dalam masa yang sama, sekiranya orang yang berkenaan tidak berupaya melakukan ibadah lagi, akibat kesengsaraan yang ditanggung, tempoh masa tersebut akan diberi ganjaran oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran amal yang pernah dilakukan sebelum itu. Hadis ini secara tidak langsung menggalakkan seseorang itu melakukan amalan sebaik boleh ketika hidupnya. Demikianlah kemurahan Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.



Pada kebiasaannya manusia itu akan lebih insaf andainya sesuatu bukti itu dapat dilihat dengan mata kepala sendiri. Hadis yang baru dijelaskan tadi boleh menyekat seseorang itu daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran ketika hidup, kerana kejahatan manusia itu tidak semestinya dibalas ketika di akhirat kelak. Itulah yang diistilahkan sebagai kifarah. Sesungguhnya balasan di dunia itu (kifarah) diberi oleh Allah ke atas hamba-Nya yang dikasihi.



Pada satu ketika, seorang lelaki telah datang menemui rasulullah mengadu yang harta bendanya telah habis, manakala tubuh badannya sakit. Mendengarkan aduan itu rasulullah berkata: Tidak baik seorang hamba yang tidak kehilangan harta bendanya dan tidak sakit badannya. Sesungguhnya Allah itu apabila Ia mengasihi seorang hamba, ia akan mengujinya dan apabila ia diuji, maka Allah s.w.t. akan memberinya kesabaran.



Tugas manusia itu adalah berusaha berlandaskan kepada ketetapan yang disyariatkan. Berusaha mencari nafkah untuk keperluan hidup dan berubat apabila sakit. Setelah itu seseorang itu perlu bertawakal, menyerahkan diri kepada Allah dan reda dengan ketentuan Allah tidak kira sama ada ketentuan itu baik seperti yang diharapkan atau buruk seperti yang cuba dihindarkan. Itulah yang dinamakan sebagai "qana'ah" iaitu reda dengan ketentuan dan ketetapan Ilahi. Andainya seseorang itu berupaya memahami hakikat ini, ia akan beroleh ketenangan dalam hidupnya.



Dalam menerima ujian dan bala Allah seseorang itu perlu sabar. Sesungguhnya balasan orang yang sabar itu amat besar (az-Zumar: 10). Menyentuh tentang kesabaran, rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Allah s.w.t telah berfirman: Apabila aku menghadapkan kepada seorang daripada kalangan hamba-Ku satu kecelakaan pada tubuh badannya, hartanya atau anaknya, kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang baik, nescaya Aku malu daripadanya pada hari kiamat, bahawa Aku akan tegakkan baginya neraca timbang amal atau Aku bukakan baginya buku suratan amal.



Sakit pada pertimbangan mata kasar adalah bala. Hanya Allah mengetahui kenapa seseorang itu sakit. Mungkin ia ditentukan sebagai kifarah atau sebab-sebab lain, seperti kerana mengangkat makam seseorang ke satu peringkat yang lebih tinggi.



Ternyata di sini bahawa sakit itu merupakan satu jalan yang memang telah ditetapkan untuk tujuan tertentu. Dalam pengertian lain, tanpa sakit, kifarah yang dikenakan tidak terlepas. Kerana itu sakit itu perlu dikenakan untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya untuk sementara, iaitu dalam jangka masa pendek atau panjang atau hingga membawa mati.



Keterangan ini mengajar manusia agar mereka tidak gusar andainya mendapati ada orang yang tidak sembuh-sembuh sakitnya, biarpun setelah puas berubat. Tugas manusia ialah berikhtiar, manakala penyembuhnya adalah urusan Ilahi.

Memilih Pasangan Hidup


oleh
zaujah_mutiara


Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk
meminang dan berkahwin.

Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.

Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidakmembawa kepada pernikahan.

Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat
nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.

Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak.

Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai
bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan
berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

“Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan
merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik.”

Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

“Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya.”

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.

Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya ialah:

1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh
kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan
kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.
3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.
4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti
mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.
5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.

Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan
saleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang
tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita salehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar. Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a:

“Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian
dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya.”

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang saleh ini telah jelas
dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:

“Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya
ialah seorang isteri yang salehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik
kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya.”

Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang salehah.

Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mngukuhkan persaudaraan Islam.

Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

“janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat, maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti
berakhlak lemah fikiran dan akal.”

Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri berbanding dengan janda.
Rasulullah saw bersabda:

“Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan mudah meredhai kerjanya.”

Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri kerana setiap perkahwinan
berkehendakkan sesuatu hasil penguniaan anak yang saleh dan salehah.

Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh menghalangnya dari mengandung dan bersalin.

Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu, pada umumnya boleh dijadikan ibunya sebagai
perbandingan. Seandainya ibunya mempunyai ramai anak, pada kebiasaannya gadis itu pun akan mewarisi ibunya, tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang mengikut baka dirinya pula.

Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih sayang antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calun isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda:

“Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti.”

Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya, baginda bangga dengan umat yang ramai kerana di
situlah letaknya kekuatan agama Islam.

Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah dipinang saudaranya, kerana bererti ia
menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama, memecah belah hubungan kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

“Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya, dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia
tinggalkan.”

Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih gadis.

Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah perlindungan kepada janda dan anak-anak.

Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang, sebab itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram terhadap orang yang beriman.”

“Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.”

Ayat di atas patut menjadi iktibar, terutama kepada para lelaki dan wanita yang ingin berkahwin. Kepada
yang sudah berumahtangga, ambillah iktibar ini dan muhasabah kepada diri kita kembali apabila menghadapi masalah dalam rumahtangga dan mengapa Allah swt
pertemukan jodoh kita dengan pasangan kita sekarang.

sabar dalam ujian

Oleh
Yannah Az Zahra


Hidup adalah perjuangan. Begitulah kata semua orang. Kita hidup tidak mungkin lepas dari ujian dan cubaan. Apalagi kita sudah mengaku sebagai muslim, mukmin, muhsin, atau bahkan mujahid. Tentu ujian akan datang bertubi-tubi tiada henti.

Ujian datang, bukan bererti Allah membenci kita. Tapi ujian merupakan tanda cinta dari Allah kepada kita. Ketika Allah menguji kita, itu bererti Allah sedang mengingat kita.

Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang dikehendaki Allah padanya suatu kebaikan (keuntungan), maka diberinya penderitaan.” (Hadits Riwayat Bukhori)

Dalam hadits yang lain, beliau bersabda:

“Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian bala’, dan sesungguhnya Allah Ta’ala apabila mencintai sesuatu kaum, maka kaum itu diuji-Nya lebih dulu. Maka barangsiapa yang rela mendapat ujian itu, baginya keridhaan Allah, dan barangsiapa yang benci, baginya kemurkaan Allah.” (Hadits Riwayat Tirmidzi)

Jadi sudah jelas kan? Bahawa ujian itu bukti cinta Allah. Semakin Allah mencintai kita, akan semakin banyak ujian yang kita terima. Jangan pernah takut menghadapi ujian itu. Hadapi dengan rasa sabar yang tinggi. Allah memberi kita ujian, pasti ada cara untuk menghadapinya.

“Sesungguhnya di setiap kesulitan, pasti ada kemudahan.” (Q.S. Al Insyirah: 6)

Itu janji Allah. Dan yakinlah, janji Allah itu benar.

Sabar atau redha adalah bukti ketaqwaan diri kepada-Nya. Bila direnungkan pada awalnya, tipis benteng kekuatan dan ketabahan diri ini. Malu dengan Allah. Malu dengan diri. Perasaan berhak, perasaan memiliki, selalu membuat diri lupa bahawa sesungguhnya diri ini tak memiliki apa-apa.

Sesungguhnya semuanya pinjaman semata. Semuanya milik Allah. Di mulut memang mudah melafazkan, tetapi iman dan taqwa teruji bila Allah timpakan ujian.

Sakit rasanya apabila memikirkan apa yang kita miliki hilang. Sedangkan hakikatnya bukanlah hilang. Tetapi diri yang lupa selama ini hanya meminjam. Betapa diri lupa bahawa segalanya hanyalah milik Allah. Apapun kehendak Allah tidak akan dapat ditangguhkan.

Sungguh indah sabda Rasulullah SAW:

“Mengagumkan keadaan seorang mukmin, semua keadaannya adalah baik bagi dirinya. Semuanya itu takkan terjadi kecuali bagi seorang mukmin, yang bila mengalami kebahagiaan ia bersyukur. Dan bila mengalami kesulitan ia bersabar, hal itu juga baik baginya.” (Hadits Riwayat Muslim)

Bila direnung-renung, layakkah diri digelar seorang mukmin-mukminah? Sedang diri selalu lupa bersyukur di kala gembira dan diri sering gagal untuk bersabar bila diuji. Kesakitan terasa di mana-mana. Diri berusaha meneguhkan hati, menyekat perasaan yang menggila tapi selalu gagal.

Diri ini tak segagah mana ya Allah. Di kala diuji baru terasa diri ini seperti tiada nilai di mata-Mu, apatah lagi di mata manusia. Diri ini bukan siapa-siapa, dan diri ini tiada berkuasa.

Ya Allah, segala apa yang Engkau berikan atau Engkau ambil, segalanya di tangan-Mu. Aku pasrahkan diri. Sadar kedaifan diri yang tidak pernah memiliki apa-apa. Diri ini lemah dalam bermujahadah. Malu dengan Allah, malu juga dengan diri. Ya Allah, diri ini teramat lemah. Ampunilah aku Ya Allah. Ampuni diri ini, duhai Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang….

Sesungguhnya ujian dan cubaan yang datang bertubi-tubi menerpa hidup manusia merupakan satu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla. Tidak satu pun diantara kita yang mampu menghalau ketentuan tersebut. Keimanan, keyakinan, tawakkal dan kesabaran yang tinggi adalah senjata utama oleh seorang hamba dalam menghadapi badai cubaan yang menerpanya. Sehingga tidak menjadikan dirinya berburuk sangka kepada Allah Subhanahu wata’ala terhadap apa yang telah ditentukan baginya.

“Ini adalah keadaan seorang mukmin. Setiap manusia berada dalam ketentuan-ketentuan Allah, baik berupa kesenangan ataupun kesusahan. Dan manusia dalam menhadapi ujian dan cubaan ini terbagi menjadi dua golongan : mukmin dan non mukmin (kafir).
Adapun golongan Mukmin ; menganggap baik segala ketentuan Allah baginya. Jika kesusahan itu menimpanya, maka dia bersabar atas ketentuan-ketentuan Allah dan senantiasa menanti pertolongan-Nya serta mengharapkan pahala Allah. Semua itu merupakan perkara yang baik baginya dan dia memperoleh ganjaran kebaikan selaku orang-orang yang bersabar.

Wallahu a’lam.

October 23, 2008

HADAPI MASALAH DENGAN BIJAK!

Oleh: Haslinda Lukman


Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah juga satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.



Antara masalah yang wujud di persekitaran kita ialah masalah kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, pertengkaran dengan ibu bapa, corot dalam peperiksaan serta beribu-ribu masalah lagi. Masalah juga boleh menyumbang kepada masalah yang lain, contohnya masalah remaja yang tidak tahan dengan leteran ibu bapanya boleh membawa remaja itu kepada masalah lepak, pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh. Masalah yang kecil apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat besar.



Setiap hari kita tidak akan terlepas dilanda dengan masalah, sekiranya bukan kita yang bermasalah, orang lain pula yang mendatangkan masalah. Oleh itu kita perlu bersedia menghadapi permasalahan tersebut dan cuba mencari kaedah untuk mengatasinya. Sempena kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal yang mulia ini, mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud setiap masalah itu, kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masalah dengan tenang.



UJIAN IMAN

Masalah sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan hanyut dengan maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau landasan yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun telah jauh menyimpang.



Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud firman Allah :



"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." ( al-Ankabut: 2 - 3)

DARJAT DI SISI ALLAH

Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:286 yang bermaksud “ Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.



Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.



"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka." ( at-Taubah: 111)



CARA MENGATASI MASALAH



1.Sandarkan Harapan Pada Allah

Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”



"Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya
kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)



2.Minta Pertolongan Dari Allah

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)



3.Jangan Sedih dan Kecewa
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139)



Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah:



“ ...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”( Yusuf : 12)



4.Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kamu tanggung.



5.Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin masalah orang lebih besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.



Penutup

Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.



"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." – (al-Baqarah: 216)

October 20, 2008

Ganjaran puasa enam

Susunan Idris Musa
idris@hmetro.com.my

"NAWAITU SHAUMA GHADIN ‘AN SITTATIN MIN SYAWWAALIN LILLAAHI TA’AALAA"

Saya berniat puasa besok sunnah enam hari dari bulan Syawal karena Allah Ta’ala

PUASA enam hari pada bulan Syawal adalah kesinambungan kepada ibadat puasa sebulan yang diwajibkan pada Ramadan

Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh yang terdahulu.

Nabi s.a.w ada menjelaskan ganjaran kepada mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya, antaranya hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud:

“Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”

Menerusi hadis lain yang dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada Syawal, nescaya hilang segala dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”

Penegasan baginda itu menunjukkan puasa enam hari bulan Syawal amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib, kerana ganjarannya sangat besar.

Nabi s.a.w sendiri menggalakkan umatnya rajin beribadat, dengan ibadat fardu disusuli dengan amalan sunat. Baginda ada menerangkan Allah (SWT) S.W.T amat suka kepada hamba-Nya yang rajin beribadat, seperti pada hadis berikut:

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah (SWT) berfirman yang maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Jika berpuasa pada Ramadan terpaksa menahan lapar dan dahaga, berpuasa enam hari pada Syawal tidak kurang juga menuntut ketabahan, malah apabila diperhatikan bahangnya lebih terasa kerana ketika berpuasa orang lain ‘berbuka.’

Tetapi sedar atau tidak, ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah (SWT); sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik-baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: ‘Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab ‘setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih),” katanya.

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah ‘membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.