October 24, 2008

MEMAHAMI ERTI KIFARAH

Kifarah bererti balasan Allah s.w.t. ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan olehnya. Allah telah menjelaskan bahawa setiap perbuatan manusia yang dilakukan di dunia ini, biar betapa kecil sekalipun akan diperlihatkan kepada pelakunya dan akan dibalas di akhirat kelak.



Manusia sering mengalami sakit, kemalangan yang menyebabkan kehilangan pancaindera, kehilangan harta benda, kematian orang yang dikasihi, kebakaran dan sebagainya.



Manusia menganggap sebagai satu kecelakaan yang menyakitkan. Setiap orang cuba, berusaha untuk mengelakkan, namun, sekiranya Allah itu telah menentukan qadak dan qadarnya maka kecelakaan itu telah berlaku.



Tidak ada manusia yang tahu rahsia-rahsia di sebalik pelbagai kecelakaan atau kemalangan yang telah ditetapkan Allah. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia jahat bagi kamu (al-Baqarah: 216).



Bencana dunia lumrahnya dapat ditanggung oleh manusia. Pada kebiasaannya, manusia akan menjerit ketika sakit atau merengek apabila penderitaan itu berpanjangan dan tidak berupaya menjerit. Manusia akan jatuh pengsan apabila kesakitan itu bersangatan.



Dengan itu manusia tidak akan berasa kesakitan. Hal demikian tidak akan berlaku ketika Allah mengazab atau menyeksa hamba-Nya di akhirat kelak akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba di dunia. Azab neraka akan berterusan. Kulit yang hangus terbakar akan diganti dengan kulit yang baru dan menerima seksa.



Abu al-Laithi menyatakan yang ia telah melawat Rasulullah s.a.w. ketika baginda sakit kuat. Ia telah menyentuh tubuh baginda dan berkata yang bermaksud: Panas badan tuan amat kuat. Baginda menjawab: Benar. Panas bagaikan panas dua orang daripada kamu. Lalu dijawab oleh Ab al-Laithi: Ini kerana tuan mendapat pahala dua kali ganda. Mendengarkan kata-kata itu baginda bersabda yang bermaksud: Benar. Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya, tidak ada seorang Islam di muka bumi ini ditimpa sakit atau lain-lain bala melainkan dihapuskan dosa-dosanya seumpama pohon yang digugurkan daunnya.



Sayidatina Aishah berkata bahawa baginda rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin suatu kecelakaan, biarpun satu duri atau yang lebih teruk daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengan kecelakaan itu satu dosa.



Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Rintihan orang yang sakit adalah merupakan tasbih, jeritannya sebagai tahlil dan kegelisahannya daripada satu bahagian itu ke bahagian lain adalah jihad di jalan Allah dan akan dicatatkan baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan ketika sihat dahulu.



Hadis ini menjelaskan bahawa penderitaan sakit yang dialami oleh seseorang itu diberi ganjaran oleh Allah selain menebus dosa yang dilakukan sebelum itu. Terlalu besar ganjaran Allah kepada orang yang menderita kesakitan berdasarkan keterangan hadis tadi. Dalam masa yang sama, sekiranya orang yang berkenaan tidak berupaya melakukan ibadah lagi, akibat kesengsaraan yang ditanggung, tempoh masa tersebut akan diberi ganjaran oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran amal yang pernah dilakukan sebelum itu. Hadis ini secara tidak langsung menggalakkan seseorang itu melakukan amalan sebaik boleh ketika hidupnya. Demikianlah kemurahan Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.



Pada kebiasaannya manusia itu akan lebih insaf andainya sesuatu bukti itu dapat dilihat dengan mata kepala sendiri. Hadis yang baru dijelaskan tadi boleh menyekat seseorang itu daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran ketika hidup, kerana kejahatan manusia itu tidak semestinya dibalas ketika di akhirat kelak. Itulah yang diistilahkan sebagai kifarah. Sesungguhnya balasan di dunia itu (kifarah) diberi oleh Allah ke atas hamba-Nya yang dikasihi.



Pada satu ketika, seorang lelaki telah datang menemui rasulullah mengadu yang harta bendanya telah habis, manakala tubuh badannya sakit. Mendengarkan aduan itu rasulullah berkata: Tidak baik seorang hamba yang tidak kehilangan harta bendanya dan tidak sakit badannya. Sesungguhnya Allah itu apabila Ia mengasihi seorang hamba, ia akan mengujinya dan apabila ia diuji, maka Allah s.w.t. akan memberinya kesabaran.



Tugas manusia itu adalah berusaha berlandaskan kepada ketetapan yang disyariatkan. Berusaha mencari nafkah untuk keperluan hidup dan berubat apabila sakit. Setelah itu seseorang itu perlu bertawakal, menyerahkan diri kepada Allah dan reda dengan ketentuan Allah tidak kira sama ada ketentuan itu baik seperti yang diharapkan atau buruk seperti yang cuba dihindarkan. Itulah yang dinamakan sebagai "qana'ah" iaitu reda dengan ketentuan dan ketetapan Ilahi. Andainya seseorang itu berupaya memahami hakikat ini, ia akan beroleh ketenangan dalam hidupnya.



Dalam menerima ujian dan bala Allah seseorang itu perlu sabar. Sesungguhnya balasan orang yang sabar itu amat besar (az-Zumar: 10). Menyentuh tentang kesabaran, rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Allah s.w.t telah berfirman: Apabila aku menghadapkan kepada seorang daripada kalangan hamba-Ku satu kecelakaan pada tubuh badannya, hartanya atau anaknya, kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang baik, nescaya Aku malu daripadanya pada hari kiamat, bahawa Aku akan tegakkan baginya neraca timbang amal atau Aku bukakan baginya buku suratan amal.



Sakit pada pertimbangan mata kasar adalah bala. Hanya Allah mengetahui kenapa seseorang itu sakit. Mungkin ia ditentukan sebagai kifarah atau sebab-sebab lain, seperti kerana mengangkat makam seseorang ke satu peringkat yang lebih tinggi.



Ternyata di sini bahawa sakit itu merupakan satu jalan yang memang telah ditetapkan untuk tujuan tertentu. Dalam pengertian lain, tanpa sakit, kifarah yang dikenakan tidak terlepas. Kerana itu sakit itu perlu dikenakan untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya untuk sementara, iaitu dalam jangka masa pendek atau panjang atau hingga membawa mati.



Keterangan ini mengajar manusia agar mereka tidak gusar andainya mendapati ada orang yang tidak sembuh-sembuh sakitnya, biarpun setelah puas berubat. Tugas manusia ialah berikhtiar, manakala penyembuhnya adalah urusan Ilahi.

No comments: